Pemuda PAS Pasir Mas Jawab Mohamed Farezz

hanifPasir Mas 21 Julai 2009 – Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas hari ini mengingatkan mana-mana pihak agar tidak mempertikaikan tindakan Dewan Pemuda PAS yang membuat laporan polis berhubung dakwaan berlakunya kegiatan membeli undi semasa pilihanraya kecil Manek Urai yang lepas.Ini kerana mana-mana pihak di Malaysia berhak membuat apa jua laporan polis jika mempunyai maklumat tentang kegiatan yang menyalahi undang-undang, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Mas (DPPKPM), Muhammad Hanif Wan Ahmad (gambar).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan yang dibuat oleh Naib Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, Mohamed Farezz Noor Amran yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian semalam. Farezz dilaporkan berkata laporan itu seolah-olah menunjukkan Pemuda PAS Kelantan gagal menerima hakikat keputusan yang dibuat oleh pengundi yang menyaksikan PAS menang dengan majoriti yang tipis.

“Pemuda PAS menasihatkan mana-mana pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan kami membuat laporan ini dan kita sama-sama menunggu keputusan siasatan yang dibuat olehh pihak berkuasa. Kita pun tidak pernah mempertikaikan hak Pemuda UMNO membuat laporan polis khususnya dalam isu kenyataan Menteri Besar baru-baru ini, Biarlah pihak polis membuat siasatan,” ujar beliau lagi.

“Saya ingin bertanya kepada Farezz yang mendakwa bahawa BN boleh menerima hakikat jika menerima kekalahan, bagaimana dengan penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan sebaik saja PAS membentuk kerajaan? Tidakkan penubuhan agensi tersebut di samping kerajaan negeri yang sah dipilih oleh rakyat menunjukkan UMNO/BN gagal menerima hakikat kekalahan? Di Terengganu pada tahun 1999 ketika PAS membentuk kerajaan negeri, kenapa UMNO/BN bertindak menarik balik royalti sedangkan itu hak rakyat, sekarang wang itu dikembalikan semula setelah Terengganu kembali kepada UMNO. Tidakkah tindakan itu jelas menunjukkan UMNO/BN gagal menerima hakikat kekalahan?”

“Saya juga ingin menasihatkan kepada Pemuda UMNO khususnya di Pasir Mas agar menumpukan agenda kepada pemerkasaan agama dan bangsa sebagaimana yang mereka laung-laungkan. Suarakan pandangan yang membela rakyat agar perjuangan membela agama dan bangsa tidak hanya dipandang retorik semata-mata”, kata beliau lagi.

Kenyataan Media DPPKPM Berkenaan Isu Sabotaj Sepanduk

DSCN1140

Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM)

Berikutan Insiden Sabotaj Sepanduk Program Liga DUN

Di Gelang Mas, Tendong, Pasir Mas

  1. Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM) telah menerima maklumat dari orang ramai berkenaan dengan sabotaj yang telah dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap sepanduk DPPKPM yang digantung di hadapan Masjid Gelang Mas, Tendong, Pasir Mas.
  2. Sepanduk tersebut merupakan sepanduk iklan dan pemakluman program pertandingan bola sepak Liga Dun yang diseliakan oleh Dewan Pemuda di semua kawasan di negeri Kelantan.
  3. Melalui tinjauan yang dibuat, sepanduk tersebut telah disabotaj dengan membuang gambar Ketua DPPKPM, Ustaz Mohd Su Azhar bin Abdullah sementara dua lagi gambar iaitu Ketua Pemuda DUN, Saudara Mukhriz dan ADUN Tendong, YB Dr Muhammad bin Daud tidak diusik.
  4. DPPKPM memandang perbuatan ini sebagai satu sabotaj yang tidak bertanggungjawab dan bertujuan untuk menjatuhkan maruah kepimpinan DPPKPM khususnya peribadi Ketua DPPKPM sendiri.
  5. DPPKPM ingin melahirkan rasa kesal dengan perbuatan sabotaj berkenaan dan berharap jika ia dilakukan oleh unsur-unsur dalaman parti, ia dapat diselesaikan dengan rundingan dan perbincangan.
  6. Tidak ada masalah dan konflik yang tidak dapat diselesaikan melalui rundingan. Berikutan itu, DPPKPM mengajak pihak-pihak yang tidak berpuas hati terhadap apa jua isu supaya dapat tampil ke hadapan dan berunding dengan cara yang terbaik dengan kepimpinan parti di peringkat DUN atau kawasan khususnya kepimpinan DPPKPM sendiri.
  7. Manakala jika sabotaj berkenaan dilakukan oleh pihak-pihak luar dari parti, DPPKPM ingin mengingatkan bahawa perbuatan tersebut ialah satu tindakan yang tidak melambangkan amalan demokrasi yang sihat.
  8. DPPKPM juga tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan lanjut  melalui apa jua cara yang dibolehkan jika bagi mengelakkan insiden ini berulang di masa-masa akan datang.

Sekian.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM)

Bertarikh : 28 Jun 2009 / 5 Rejab 1430

Mohd Sapani Zakaria Dipelawa Sertai PAS

3 Jun 2009 – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas,  Mohd Sapani Zakaria yang meletakkan jawatan ekoran kecewa dengan kepimpinan UMNO Pasir Mas dipelawa untuk menyertai Parti Islam SeMalaysia  (PAS) di dalam usaha untuk meneruskan perjuangan memartabatkan bangsa dan agamad di bumi Malaysia ini. Ini kerana UMNO sendiri sudah terbukti tidak berminat untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu apatah lagi agama Islam ekoran sikap pemimpinnya yang lebih mementingkan kepentingan diri sendiri berbanding dengan dasar perjuangan, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM), Ustaz Muhammad Hanif Wan Ahmad.

“Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas sedia memberikan tempat kepada saudara Mohd Sapani untuk bersama-sama bagi meneruskan agenda perjuangan suci ini. Kita yakin, beliau sepenuhnya menyedari bahawa UMNO khususnya di Pasir Mas sudah tidak lagi boleh diharapkan sama sekali ekoran pelbagai skandal dan politik wang yang membelenggu kepimpinan khususnya ketika berdepan dengan pemilihan di peringkat bahagian pada tahun lepas,” katanya lagi.

Beliau membuat pelawaan demikian sebagi mengulas laporan Sinar Harian semalam berkenaan perletakan jawatan Sapani sebagai Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Mas ekoran kecewa dengan kepimpinan UMNO Pasir Mas.

“Kita juga menyeru semua ahli UMNO yang lain agar turut sama sedar dengan senario yang berlaku pada hari ini yang menyaksikan penolakan besar-besaran rakyat terhadap kerajaan UMNO dan Barisan Nasional. Semua ini membuktikan bahwa masa depan UMNO sudah hampir sampai ke garisan penamat. Oleh yang demikian, tidak ada gunanya lagi ahli-ahli UMNO berjuang mempertahankan parti yang sudah ditolak oleh rakyat bukan sahaja di dalam pilihanraya umum yang lalu bahkan di dalam siri-siri pilihanraya kecl selepasnya.” Ujar beliau lagi.

Jawatankuasa DPPKPM sesi 2009-2011

Alhamdulillah, pada 15 April 2009 Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunanke 37 bertempat di Maahad Muhammadi Pasir Mas. Mesyuarat Tahunan kali ke 37 ini menyaksikan pertukaran Jawatankuasa Baru DPPKPM bermula dari Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda dan pertukaran beberapa ahli jawatankuasa baru.

Untuk 3 jawatan tertinggi, Ketua Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas untuk sesi 2009-2011 ialah Ustaz Mohd Suazhar yang dahulunya memegang jawatan Naib Ketua Pemuda, sementara Ustaz Hanif Wan Ahmad masih kekal sebagai Timbalan Ketua Pemuda. Naib Ketua Pemuda pula ialah Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang dulunya menyandang jawatan Ketua Penerangan Pemuda DPPKPM.

Pemergian Allahyarham Wan Jamil Satu Kehilangan Besar Kepada PAS Kelantan – Timbalan DPPKPM

ust_wan_jamil

28 Februari 2008 – Pemergian Allahyarham Wan Jamil Wan Mahmood, bekas ahli Parlimen Tumpat hari ini merupakan satu kehilangan besar kepada perjuangan PAS khususnya di Kelantan. Ini kerana allahyarham merupakan seorang tokoh yang sangat komited terhadap perjuangan PAS dan sering kali menitikberatkan persoalan tarbiyyah di dalam diri ahli-ahli PAS, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Mas (DPPKPM), Ustaz Muhammad Hanif Wan Ahmad.

“Allahyarham tidak asing di kalangan orang-orang lama di dalam PAS dan juga generasi baru ekoran program tarbiah yang berterusan yang diterajui oleh beliau. Ini sesuai dengan jawatannya sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiyyah PAS Kelantan.” Ujarnya.

Allahyarham Wan Jamil menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada pukul 1.00 pagi ini ekoran jangkitan paru-paru. Jenazahnya telah selamat disemadikan di kampungnya di Pasir Pekan pada pukul 11.30 pagi ini. Solat jenazah diimamkan oleh YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan. Turut hadir bersama Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar dan juga pimpinan kerajaan yang lain.

“DPPKPM mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga allahyarham dan berharap agar roh beliau dirahmati oleh Allah SWT sesuai dengan kesucian perjuangan yang didokongnya.” katanya.

Datuk Ibrahim Ali Diminta Menghormati Pengundi Parlimen Pasir Mas – Ketua DPPKPM

22 Februari 2008 – Ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Paduka Ibrahim Ali diminta menghormati pengundi Pasir Mas yang memberikannya kemenangan di dalam pilihanraya umum 2008 yang lalu di atas tiket PAS. Justeru itu, beliau diminta untuk melepaskan jawatan sebagai ahli parlimen dan memberikan semula mandat kepada rakyat Pasir Mas untuk membuat penentuan yang sebaik-baiknya, kata Rozi Muhammad, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM).

“Ibrahim harus sedar bahawa kemenangannya di dalam pilihanraya umum yang lepas jelas disebabkan oleh sokongan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS. Ia berdasarkan kerjasama yang dijalinkan sebelum pilihanraya di antara beliau dengan PAS. Harapan pengundi ialah beliau akan mendokong dasar kerajaan negeri dan perjuangan PAS umumnya sekalipun tidak menyertai PAS.” Ujar Rozi di dalam satu kenyataannya hari ini. Beliau mengulas permintaan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan dua hari lepas yang menggesa Ibrahim melepaskan jawatannya sebagai ahli parlimen jika beliau bermaruah. Ini ekoran kritikan-kritikan yang dilemparkan oleh Ibrahim kepada PAS dan Pakatan Rakyat di dalam dan di luar parlimen sejak akhir-akhir ini. Takiyuddin menyifatkan kelantangan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi sedangkan anggota Parlimen Bebas itu diberi peluang bertanding atas tiket PAS pada pilihan raya umum 2008.

”Seharusnya Ibrahim bermuhasabah kembali bahawa sokongan rakyat Pasir Mas kepadanya hanyalah kerana menggunakan lambang PAS. Ini dapat dilihat di dalam pilihanraya umum 2004 dan pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pada awal tahun 2006 di mana beliau mengalami kekalahan teruk di dalam kedua-dua pilihanraya tersebut,”

Semalam, Ibrahim di dalam reaksinya spontannya berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan kecuali diminta berbuat demikian oleh pengundi di kawasannya.

Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua Umno Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya dalam Umno seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-11, Mei 2004. Ibrahim bagaimanapun tewas kepada calon PAS, Ismail Noh. Beliau turut hilang wang pertaruhan selepas mendapat 415 undi semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pangkalan Pasir pada 2005 yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat.

Rakyat Mahu Peralihan Kerajaan Bukan Peralihan Kuasa – Ketua DPPKPM

18 Januari 2009 – Kemenangan PAS di dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu semalam membuktikan bahawa perjuangan PAS semakin diterima oleh rakyat. Ia juga sebagai satu kayu ukuran bahawa segala propaganda dan perancangan UMNO/BN untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan Pakatan Rakyat sama sekali tidak membuahkan hasil. Di dalam masa yang sama, ia mencerminkan hasrat rakyat yang mahukan peralihan kerajaan bukan peralihan kuasa, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM), Rozi Muhammad.

“UMNO/BN seharusnya perlu menyedari hakikat bahawa parti yang tertegak di atas perjuangan perkauman semakin ditolak oleh rakyat. Apatah lagi jika bergelumang dengan rasuah dan hanya mengharapkan sokongan yang lahir dari budaya ugutan dan samseng. UMNO sebenarnya sudah ketinggalan zaman, sepatutnya mereka menyedari bahawa momentum pilihan raya umum yang lalu sama sekali tidak akan luntur selagi mereka meneruskan budaya politik kuno yang diamalkan selama ini. Rakyat sudah menghantar isyarat agar UMNO/BN berubah melalui undi di dalam pilihanraya umum dan pilihanraya kecil Permatang Pauh, namun sayangnya mereka gagal membaca gerak hati rakyat.” kata beliau lagi.

Di dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu semalam, PAS telah berjaya memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu melalui calonnya, Abdul Wahid Endut, 51 yang menyaksikan Adun Wakaf Mempelam itu mengalahkan BN yang diwakili oleh calon Umno, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon bebas Azharuddin Mamat, seorang ahli perniagaan. PAS mendapat 32,883 undi manakala BN 30,252, sementara undi calon Bebas adalah 193 undi, di mana PAS mendapat kelebihan majoriti 2,631 undi.

“UMNO/BN harus menyedari bahawa faktor kekalahan ini bukanlah kerana Pak Lah atau Najib tetapi kerana UMNO/BN itu sendiri sudah ditolak sama sekali oleh rakyat.”

”Dalam pada itu, DPPKPM tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Abdul Wahid Endut di atas kemenangan bersejarah ini. Tidak lupa kepada semua petugas khususnya dari DPPKPM yang turut menghantar wakil untuk turut serta berkempen bagi memastikan kemenangan PAS,” ujar beliau.

DPPKPM Mengutuk Keras Sokongan Amerika Terhadap Israel – Ketua DPPKPM

4 Januari 2008 – Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM) mengutuk sekeras-kerasnya sokongan yang diberikan oleh Amerika Syarikat terhadap tindakan Israel yang melancarkan serangan terhadap Gaza pada masa sekarang. Ini disifatkan sebagai tindakan menyokong keganasan dan pastinya akan meningkatkan kebencian masyarakat antarabangsa terhadap Israel dan Amerika, kata Ketua DPPKPM, Saudara Rozi bin Muhammad.

“Tindakan Amerika yang jelas sekali membelakangkan sentimen masyarakat antarabangsa merupakan satu tindakan yang benar-benar biadap dan nayta sekali Amerika ingin muncul sebagai penyokong nombor satu Israel. Amerika juga tidak pernah serik dengan reaksi kebencian seluruh dunia menyaksikan presidennya dilemparkan dengan kasut baru-baru ini,” kata beliau.

Rozi berkata demikian semasa mengulas laporan-laporan akhbar utama pada hari ini yang mengeluarkan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, George Bush yang menyatakan secara terbuka sokongannya terhadap serangan yang dilancarkan oleh Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza. Bahkan George Bush menyifatkan bahawa pengganas yang sebenar ialah para pejuang Hamas yang berjuang untuk membebaskan tanah air mereka.

“Amerika di ambang persaraan presidennya seolah-olah terus menjana kebencian dunia tehadapnya. Jika beginilah dasar luar Amerika, nescaya dunia akan terus menyaksikan kebangitan yang menyeluruh yang didorong oleh perasaan benci terhadap mereka”.

“DPPKPM menggesa seluruh lapisan masyarakat agar dapat mengadakan bantahan yang berterusan melalui pelbagai cara dalam membantah keganasan Israel dan Amerika pada hari ini. Bantahan ini perlulah melepasi sempadan fahaman politik dan perkauman, kini masa untuk masyarakat antarabangsa bersatu demi semangat persaudaraan sesama Islam.” ujarnya lagi.

Dato’ Ibrahim Ali Diminta Menarik Balik Kenyataan – Ketua Penerangan DPPKPM

berahim2812081

28 Disember 2008 – Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, YB Datuk Paduka Ibrahim Ali diminta menarik balik kenyataan yang menyatakan bahawa PAS telah berubah prinsip di dalam memperjuangkan Islam seperti yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian hari ini. Ini kerana kenyataan tersebut merupakan satu tanggapan yang salah terhadap PAS dan tidak sepatutnya lahir dari seorang wakil rakyat yang menang dengan menggunakan lambang PAS, kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM), Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari.

 

Menurutnya lagi, Ibrahim yang turut menyifatkan bahawa PAS dan DAP umpama kucing dengan tikus di mana DAP ialah kucing dan PAS ialah tikus seolah-olah ingin meletakkan dirinya sebagai seorang pejuang Melayu yang tulen dengan menolak terus kerjasama PAS dengan DAP di dalam membentuk kerajaan di Perak dan Selangor.

 

”Ibrahim perlu sedar bahawa PAS tidak pernah berundur daripada hasrat untuk melaksanakan undang-undang hudud dan ia telah diluluskan di Kelantan dan Terengganu. Tetapi yang menjadi penghalang ialah kerajaan pusat yang ditunjangi ileh UMNO. Peliknya, Ibrahim meminta supaya PAS menerima tawaran UMNO untuk bekerjasama. Jika demikian, tidakkah PAS juga akan menggadaikan prinsipnya?”. ujar beliau lagi.

 

”Tidakkan Ibrahim menyedari bagaimana kerajaan PAS Kelantan saban tahun mengadakan hari hudud bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat pendedahan dari masa ke semasa mengenai undang-undang ini? Cuma di dalam keadaan sekarang di mana Pakatan Rakyat tidak menguasai kerajaan Pusat, apa gunanya PAS terus menerus menyuarakan hasrat sedangkan banyak lagi isu-isu lain yang boleh ditangani di lima negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat? PAS tidak seperti UMNO yng gemar beretorik tetapi tidak pernah mempunyai kesungguhan untuk melaksanakannya.”

 

”Seelok-eloknya, Ibrahim kembalilah semula ke pangkuan UMNO yang sedang nazak itu kalau PAS sudah dianggap menggadaikan prinsip,” katanya lagi.

Hudud : UMNO Sedang Ketandusan Isu – Ketua DPPKPM

rozi-iftor26 Disember 2008 – UMNO disifatkan sedang ketandusan isu apabila memainkan semula isu hudud yang diharapkan dapat menjadi bahan kempen di dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu nanti. Ini kerana isu tersebut sudah diperkatakan sejak lama dan sepatutnya UMNO sendiri memahami tanggungjawabnya sebagai pergerakan yang dianggotai oleh orang-orang Islam di dalam menerima ketetapan Allah SWT, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM), Saudara Rozi Muhammad.

 

“Apa yang jelas, individu yang bertanggungjawab menimbulkan isu tersebut ialah Naib Pergerakan Pemuda UMNO sendiri iaitu Saudara Khairy Jamaluddin di dalam wacana perdana di Balai Islam pada 20 Disember lepas. YB Dato’ Husam hanya memberikan respon terhadap asakan Khairy.” ujar beliau lagi.

 

Isu hudud kembali bergema semula selepas Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa menegaskan komitmen PAS di dalam melaksanakan hukum hudud di negara ini di dalam program Wacana Perdana Transformasi Politik anjuran Lajnah Penerangan PAS Kelantan di Balai Islam, Lundang pada 20 Disember lalu. Berikutan itu, pemimpin-pemimpin UMNO mendakwa bahawa PAS menimbulkan kembali isu tersebut untuk menarik undi orang-orang Islam di dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu nanti.

 

“Kita sedikit pun tidak hairan sekiranya DAP atau MCA yang membantah hukum hudud kerana mereka sememangnya tidak Islam dan tidak memahami tuntutan Islam. Tetapi apakah sikap UMNO di dalam hal ini? Tidakkah tanggungjawab untuk melaksanakan tuntutan Islam turut menjadi tugas mereka?” kata beliau.