DPPKPM Mengutuk Keras Sokongan Amerika Terhadap Israel – Ketua DPPKPM

4 Januari 2008 – Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM) mengutuk sekeras-kerasnya sokongan yang diberikan oleh Amerika Syarikat terhadap tindakan Israel yang melancarkan serangan terhadap Gaza pada masa sekarang. Ini disifatkan sebagai tindakan menyokong keganasan dan pastinya akan meningkatkan kebencian masyarakat antarabangsa terhadap Israel dan Amerika, kata Ketua DPPKPM, Saudara Rozi bin Muhammad.

“Tindakan Amerika yang jelas sekali membelakangkan sentimen masyarakat antarabangsa merupakan satu tindakan yang benar-benar biadap dan nayta sekali Amerika ingin muncul sebagai penyokong nombor satu Israel. Amerika juga tidak pernah serik dengan reaksi kebencian seluruh dunia menyaksikan presidennya dilemparkan dengan kasut baru-baru ini,” kata beliau.

Rozi berkata demikian semasa mengulas laporan-laporan akhbar utama pada hari ini yang mengeluarkan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, George Bush yang menyatakan secara terbuka sokongannya terhadap serangan yang dilancarkan oleh Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza. Bahkan George Bush menyifatkan bahawa pengganas yang sebenar ialah para pejuang Hamas yang berjuang untuk membebaskan tanah air mereka.

“Amerika di ambang persaraan presidennya seolah-olah terus menjana kebencian dunia tehadapnya. Jika beginilah dasar luar Amerika, nescaya dunia akan terus menyaksikan kebangitan yang menyeluruh yang didorong oleh perasaan benci terhadap mereka”.

“DPPKPM menggesa seluruh lapisan masyarakat agar dapat mengadakan bantahan yang berterusan melalui pelbagai cara dalam membantah keganasan Israel dan Amerika pada hari ini. Bantahan ini perlulah melepasi sempadan fahaman politik dan perkauman, kini masa untuk masyarakat antarabangsa bersatu demi semangat persaudaraan sesama Islam.” ujarnya lagi.

Dato’ Ibrahim Ali Diminta Menarik Balik Kenyataan – Ketua Penerangan DPPKPM

berahim2812081

28 Disember 2008 – Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, YB Datuk Paduka Ibrahim Ali diminta menarik balik kenyataan yang menyatakan bahawa PAS telah berubah prinsip di dalam memperjuangkan Islam seperti yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian hari ini. Ini kerana kenyataan tersebut merupakan satu tanggapan yang salah terhadap PAS dan tidak sepatutnya lahir dari seorang wakil rakyat yang menang dengan menggunakan lambang PAS, kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM), Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari.

 

Menurutnya lagi, Ibrahim yang turut menyifatkan bahawa PAS dan DAP umpama kucing dengan tikus di mana DAP ialah kucing dan PAS ialah tikus seolah-olah ingin meletakkan dirinya sebagai seorang pejuang Melayu yang tulen dengan menolak terus kerjasama PAS dengan DAP di dalam membentuk kerajaan di Perak dan Selangor.

 

”Ibrahim perlu sedar bahawa PAS tidak pernah berundur daripada hasrat untuk melaksanakan undang-undang hudud dan ia telah diluluskan di Kelantan dan Terengganu. Tetapi yang menjadi penghalang ialah kerajaan pusat yang ditunjangi ileh UMNO. Peliknya, Ibrahim meminta supaya PAS menerima tawaran UMNO untuk bekerjasama. Jika demikian, tidakkah PAS juga akan menggadaikan prinsipnya?”. ujar beliau lagi.

 

”Tidakkan Ibrahim menyedari bagaimana kerajaan PAS Kelantan saban tahun mengadakan hari hudud bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat pendedahan dari masa ke semasa mengenai undang-undang ini? Cuma di dalam keadaan sekarang di mana Pakatan Rakyat tidak menguasai kerajaan Pusat, apa gunanya PAS terus menerus menyuarakan hasrat sedangkan banyak lagi isu-isu lain yang boleh ditangani di lima negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat? PAS tidak seperti UMNO yng gemar beretorik tetapi tidak pernah mempunyai kesungguhan untuk melaksanakannya.”

 

”Seelok-eloknya, Ibrahim kembalilah semula ke pangkuan UMNO yang sedang nazak itu kalau PAS sudah dianggap menggadaikan prinsip,” katanya lagi.

Hudud : UMNO Sedang Ketandusan Isu – Ketua DPPKPM

rozi-iftor26 Disember 2008 – UMNO disifatkan sedang ketandusan isu apabila memainkan semula isu hudud yang diharapkan dapat menjadi bahan kempen di dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu nanti. Ini kerana isu tersebut sudah diperkatakan sejak lama dan sepatutnya UMNO sendiri memahami tanggungjawabnya sebagai pergerakan yang dianggotai oleh orang-orang Islam di dalam menerima ketetapan Allah SWT, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM), Saudara Rozi Muhammad.

 

“Apa yang jelas, individu yang bertanggungjawab menimbulkan isu tersebut ialah Naib Pergerakan Pemuda UMNO sendiri iaitu Saudara Khairy Jamaluddin di dalam wacana perdana di Balai Islam pada 20 Disember lepas. YB Dato’ Husam hanya memberikan respon terhadap asakan Khairy.” ujar beliau lagi.

 

Isu hudud kembali bergema semula selepas Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa menegaskan komitmen PAS di dalam melaksanakan hukum hudud di negara ini di dalam program Wacana Perdana Transformasi Politik anjuran Lajnah Penerangan PAS Kelantan di Balai Islam, Lundang pada 20 Disember lalu. Berikutan itu, pemimpin-pemimpin UMNO mendakwa bahawa PAS menimbulkan kembali isu tersebut untuk menarik undi orang-orang Islam di dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu nanti.

 

“Kita sedikit pun tidak hairan sekiranya DAP atau MCA yang membantah hukum hudud kerana mereka sememangnya tidak Islam dan tidak memahami tuntutan Islam. Tetapi apakah sikap UMNO di dalam hal ini? Tidakkah tanggungjawab untuk melaksanakan tuntutan Islam turut menjadi tugas mereka?” kata beliau.

Majlis Perjumpaan PASTI Kawasan Pasir Mas

pasti061208

6 Disember 2008 – Satu majlis perjumpaan PASTI peringkat kawasan Pasir Mas telah diadakan pada hari ini di bangunan PAS Kawasan di Jalan Pohon Celagi, Pasir Mas. Majlis ini melibatkan semua pengerusi dan setiausaha PASTI Cawangan serta guru-guru PASTI. Antara yang hadir ialah Ketua DPPKPM, Saudara Rozi Muhammad dan Timbalannya, Ustaz Muhammad Hanif yang juga merupakan pengerusi PASTI Kawasan Pasir Mas. Turut hadir Ustaz Mukhtar, Setiausaha Kerja PASTI Negeri Kelantan dan Cikgu Muhammad Nuri, Setiausaha PASTI Negeri Kelantan yang mewakili YB Mohd Zaki Ibrahim, Pengarah PASTI Kelantan yang seterusnya merasmikan majlis tersebut.

DPPKPM Tubuhkan Skuad Bantuan Banjir

1 Disember 2008 – Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM) menubuhkan skuad khas untuk menjalankan kerja-kerja bantuan kepada mangsa banjir khususnya di kawasan Pasir Mas. Ini berikutan fenomena hujung tahun yang seringkali menyaksikan banjir melanda di Pantai Timur dan tidak terkecuali kawasan-kawasan di dalam jajahan Pasir Mas.

Menurut Ketua DPPKPM, Saudara Rozi Muhammad, skuad khas ini terdiri daripada 30 orang sukarelawan yang akan sentiasa bersiap sedia dari masa ke semasa untuk menjalankan kerja-kerja pemindahan mangsa banjir ke pusat-pusat pemindahan. Untuk tujuan itu, sebuah bot khas telah disediakan dan para sukarelawan terbabit diletakkan di dalam keadaan berjaga-jaga di kawasan-kawasan yang dijangka akan mengalami banjir.

“Kebiasaannya, di dalam jajahan Pasir Mas, kawasan-kawasan seperti Gelang Mas, Bunut Susu dan Chetok seringkali mengalami banjir dan menyaksikan sejumlah mangsa-mangsa banjir terpaksa dipindahkan. Menyedari realiti ini, DPPKPM merasakan tanggungjawab untuk turut serta menjalankan kerja-kerja kebajikan bagi membuktikan kita sentiasa peka dengan masalah yang menimpa masyarakat,” ujar Rozi.

Pembebasan Raja Petra Bukti ISA Semakin Ditolak – Ketua DPPKPM

07 November 2008 – Perintah mahkamah supaya penulis laman malaysia-today, Raja Petra Kamaruddin dibebaskan serta merta dari tahanan ISA adalah bukti bahawa akta zalim itu semakin ditolak oleh segenap lapisan masyarakat, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Mas (DPPKPM), Rozi Muhammad. Menurutnya, pembebasan ini satu bukti bahawa akta ini semakin ketinggalan dan tidak sesuai lagi untuk diamalkan khususnya di Malaysia pada hari ini.

 

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang mengisytiharkan bahawa penahanan penulis blog tersebut di bawah ISA adalah tidak sah dan memerintahkan supaya beliau dibebaskan segera. Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad yang menerima permohonan habeas corpus pengendali blog popular Malaysia Today juga memerintahkan beliau dibebaskan serta-merta. Hakim juga memerintahkan Raja Petra dibawa ke mahkamah menjelang 4 petang hari ini sebelum beliau dibebaskan segera.

 

”Kita sudah lama memperjuangkan agar akta ini dihapuskan terus di bumi Malaysia ini. Sebarang kesalahan sebenarnya boleh diambil tindakan menurut undang-undang yang sedia ada. Bahkan di kalangan pemimpin UMNO sendiri ada yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan akta ini,” ujar Rozi merujuk kepada isu perletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim daripada kabinet beberapa minggu lepas kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan kerajaan menggunakan akta ISA.

 

“Kita berharap agar kerajaan sedar tentang perkara ini sebelum mereka disedarkan oleh ‘kuasa rakyat’. Ini kerana budaya takut yang ingin diserap di dalam minda masyarakat sebenarnya sudah tidak berkesan lagi pada hari ini” katanya lagi.

 

Takziah Kepada Guru PASTI

Salam Takziah…

Hj Zuraidin menyampaikan sumbangan bagi pihak PASTI Kawasan Pasir Mas dan PASTI Negeri

Pasir Mas – Seorang anak Pengerusi Majlis Guru PASTI (MGP) telah meninggal dunia dalam satu kemalangan di Janda Baik, Bentong, Pahang.

Si mati, Nor Hazwani Binti Zakaria merupakan siswi UM Banggi, berumur dalam 22 tahun. Si mati dilaporkan baru sahaja sampai di UM dari Kelantan dan ke Pahang bersama kakak dan kawan untuk ke rumah emak angkatnya.

Kemalangan itu hanya menyebabkan seorang mangsa, yang lain hanya cedera ringan. Jenazah disemadikan di kubur Lemal, Pasir Mas.

Solat jenazah diadakan di madrasah berdekatan dengan rumah si mati dengan diimami oleh Hj Hussin Pondok Lubuk Tapah. Turut hadir bersama YB Abd Rahman, ADUN Chetok.

PASTI Kawasan Pasir Mas telah tampil menghulurkan sedikit sumbangan kepada keluarga mangsa bagi membantu keluarga si mati. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Hj Zuraidin Abdullah, Timbalan Pengarah PASTI Negeri Kelantan disamping sumbangan PASTI negeri kepada keluarga si mati.