Pas Tidak Pernah Menggadaikan Prinsip!

oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari

 

Saya membaca satu persatu tulisan Zulkiflee Bakar hari ini di dalam Mingguan Malaysia. Tulisan yang bertajuk Pas berubah atau keliru? jelas sekali menampakkan penulisnya yang sedang keliru atau sedang cuba mengelirukan orang lain. Dilihat kepada latar belakang penulis ini, tidak peliklah apabila gaya tulisan masih lagi menampakkan kehendak mengampu pimpinan UMNO yang sudahpun berada di talian hayat yang terakhir.

 

Satu perkara yang sangat-sangat pelik ialah apabila orang seperti Zulkiflee ini seringkali meletakkan beban untuk bersuara tentang Islam kepada PAS. Adakah tanggungjawab menyatakan kebenaran ini hanya kerja orang-orang PAS? Lantas peranan mereka sendiri di mana? Itulah juga yang berlaku di Selangor apabila UMNO mendesak Datuk Dr Hassan Ali menyatakan pendirian mengenai konsert Ella dan Mas Idayu, lalu pendirian mereka apa dia?

 

Zulkiffle Bakar menghujahkan betapa kelirunya PAS dengan beberapa hujah sinis yang sama sekali tidak layak untuk menghuni sebuah akhbar harian. Adakah Mingguan Malaysia sendiri yang rela merendahkan tarafnya kerana menyedari hakikat mereka sebagai sebuah akhbar nyamuk pencacai UMNO/BN lantas membenarkan dada mereka dihuni oleh tulisan yang tidak menggambarkan minda kelas pertama?

 

Zulkiffle mendatangkan surat seorang pembaca yang katanya sebagai hujah bahawa PAS sudah hilang prinsip. Antara lain ialah soal suara wanita sebagai qariah. Saya menjawab begini, PAS tidak pernah mengharamkan wanita berceramah di Kelantan. Ketua pembangkang di parlimen tidak menyanyi atau mengalunkan suara merdu tetapi berucap. Sejak bila pula di Kelantan ustazah-ustazah diharamkan berceramah? Apa yang menjadi pegangan YAB Menteri Besar ialah mengambil pandangan bahawa suara wanita ialah aurat apabila sengaja dilembutkan. Walaupun isu ini merupakan khilaf di kalangan para ulama, tetapi kerajaan Kelantan mengambil pendekatan tidak menghantar peserta perempuan kerana dibimbangi mengundang fitnah. Menghindari fitnah adalah satu perkara yang wajib. Sebagaimana Rasulullah SAW melarang sahabat-sahabatnya menziarahi kubur kerana dibimbangi kerana berlakunya khurafat dan ratapan, kemudian larangan ini ditarik balik. Apakah Rasulullah SAW tiada prinsip? Saya tidak fikir dengan tidak terhantarnya peserta wanita ini menyebabkan Zulkiflee Bakar menjadi sasau akibat gagal menghayati isi kandungan al-Quran. Rasanya kalau Zulkiflee benar-benar bersungguh mencintai bacaan al-Quran, dia tidak akan menjadi pencacai UMNO.

         

Berkenaan dengan kepimpinan wanita, PAS satu-satunya parti yang memberikan ruang yang begitu luas kepada wanita. Bahkan untuk mewakili kerajaan Kelantan di Dewan Negara, kedua-dua senator yang dilantik ialah dari kalangan wanita. PAS memberikan ruang kepada wanita sehingga kepada peringkat bertanding sebagai Naib Presiden, sesuatu yang tidak mungkin ada di dalam parti projek seperti UMNO. PAS tidak pernah mengharamkan secara total penyertaan wanita sebagai calon pilihanraya, cuma kemampuan wanita untuk berdepan dengan suasana kempen dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat tentulah berbeza dengan lelaki. Hanya wanita yang benar-benar mampu sahaja boleh berdepan dengan tanggungjawab demikian. Apabila calonnya ditemui, PAS boleh membuka ruang bila-bila masa sahaja. Tahukah Zulkiflee, UMNO di Kelantan semenjak dua dekad ini tidak pernah mempunyai wakil wanita di Dewan Undangan Negeri? Bahkan calon wanita UMNO di dalam pilihanraya pun hanya diletakkan di kawasan maut bagi mereka bagi menunjukkan sikap tidak bersungguh UMNO dalam memberikan ruang kepada wanita. Kenapa tidak sesekali letakkan calon wanita di kawasan yang mempunyai kem tentera kerana di situlah UMNO akan menang? Zulkifle tidak boleh mengambil hujah pendirian PAS dengan hanya mengambil kata-kata seorang tukang kempen dalam pilihanraya. Kalau mahu dikaitkan dengan pendirian PAS, sila datangkan bukti. Jangan hanya sekadar mendengar khabar angin lalu dimuatkan di dalam tulisan. Anda penulis berpengalaman, sudah berpindah randah dari akhbar ke akhbar. Kalau begini mutu tulisan Zulkifle, marilah menulis di blog sahaja.

 

Berkata Zulkiffle lagi, bukti PAS hilang prinsip ialah dengan bekerjasama dengan DAP. Katanya PAS pernah mengkafirkan UMNO kerana kerjasama dengan MCA/MIC. Hakikatnya apa yang ditentang oleh PAS bukanlah kerjasama, tetapi apa yang lahir hasil kerjasama tersebut. PAS tidak pernah menggadaikan prinsip apabila bekerjsama, tentangan Dewan Pemuda PAS terhadap konsert Ella dan Mad Idayu di Selangor menjadi bukti. Tidak seperti UMNO, kerjasama dalam Barisan Nasional menghasilkan natijah Melayu hilang haknya. Berapa banyak tanah orang-orang Melayu tergadai ke tangan orang asing hasil dasar UMNO yang bertuhankan projek. Wilayah Pembangunan Iskandar apa pula ceritanya? PAS kah yang bertanggungjawab menswastakan pegangan tanah tersebut?

 

Nasihat saya kepada wartawan-wartawan mencari makan seperti Zulkiffle, menulislah dengan adil. Sedikit kagum saya apabila Zulkifle membawa hadis berkaitan kelebihan berkata benar, tetapi sayangnya ditujukan hanya untuk Dewan Pemuda dan Dewan Ulama PAS sahaja. Lalu, Zulkiflee sendiri tidak bertanggungjawab berkata benar?

 

22 Jun 2008

 

Penulis merupakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pasir Mas

One Response

  1. […] Pas Tidak Pernah Menggadaikan Prinsip! […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: